P:E:N:G:U:L:A:SKEcuPULelaki Buah Kecupu: manis, masam dan kelat melekat lama di titik rasa SiDLelaki Belum kahwin Semenanjung DiANEmak - suri di rumah Semenanjung Malaysia LUPiNEBukan lelaki - marhaen Ibu & isteri Malaysia - ungu biru SERoJAPerempuan Tujuh warna pelangi SNoW wHiteIbu & isteri Kuala Lumpur
Buku-buku yang diulas Mencari Kekasih - Zaharah Muhammad Abadilah Cinta - Andrei Aksana Buat Yang Terakhir - Sabariah Araur Inilah Cinta - CT Rohani Abu Donia - Lamia Aimal Persinggahan - Norhisham Mustaffa Antara Dua Hati - Fatinilam Sari Bumi Manusia - Pramoedya Ananta Toer Getaran Rindu - Norzailina Nordin Ego - Abd Rahim Awang Bidadari Bowanavista - Farahnina Zulfar Kasih Antara Kita - Aleeya AneesaLeraian Novella - Norhisham Mustaffa Hauri Hatiku - Faeshumi Kemarau Di Hati - Nazifah Halmi Maafkanku Sayang - Mimie AfinieMenyemai Cinta - Iffa Irdina Kasih Bersemi - Rozita Abd. Wahab Hati Yang Terusik - Nia Azalea Ayahanda - Azizi Hj Abdullah Pergilah Lara - Nor Erny Othman Biarkan Bunga itu Layu - Yusrul Emiza Yusof Kompilasi Kasih Orang Terbuang - Norhisham Mustaffa Bara - Abd. Rahim Awang Biarkan Aku Sendiri - Siti Rozilah Hanya Kau Segalanya - Jessy Mojuru Hartini - Aziz Afkar Sutera Dalam Lukisan - Abd. Talib Hassan Rinduku di Angin Lalu - Norisah Abu Bakar Belaian Jiwa - Nor Erny Othman Gelora di Tasik Biru - Diya Elora Rindu di Kalbu - Durrah Fatiha 1515 - Faisal Tehrani Tiga Wajah - Lamia Aimal Kau Tetap di Hatiku - Jamilah Ahmad Merentas Kabus - Hartini Hamzah Realiti - Abd. Rahim Awang
|
 |
KEcuPU mengulas Tunggu Teduh Dulu

Tajuk : Tunggu Teduh Dulu
Pengarang : Faisal Tehrani
Halaman : 678 ms
Penerbit : Penerbitan Selain
Tahun : 2004
Komen pertama saya tentang novel ini ialah harganya agak mahal berbanding dengan novel lain yang setebalnya. Mungkin kerana ia menggunakan kertas 'kuning' yang tentu saja lebih mahal harganya berbanding dengan kertas putih yang disukai oleh ramai para pembaca novel di Malaysia. Atau mungkin juga ia mahal kerana ditulis seorang penulis tergolong antara sasterawan ulung tanah air. Tapi sayanglah kerana faktor harga boleh menyebabkan ramai orang, terutama para pelajar sekolah dan golongan yang berpendapatan rendah sedikit terhalang untuk membelinya.
Bagi saya, novel ini ialah cerita Ayub Anak Tulakang versi novel. Kalau dalam Ayub segalanya pisang daripada goreng pisang sampai cekodok pisang, novel ini semuanya betik. Pelbagai informasi betik dimuatkan. Daripada jenis betik dan masalahnya hinggalah kepada segala macam kegunaan betik. Makan steak pun bersos betik. Sampai orang pun diberi perlambangan betik, sebagai contoh suami heroin dipanggil betik muda dan suami heroin kedua diberi gelar betik Yogya. Sinopsisnya ialah kisah dua orang sahabat, Salsabila Fahim dan Teh Sofia yang membuka sebuah ladang betik, Tunggu Teduh, di tanah pusaka kepunyaan Salsabila. Ayah Salsabila dulu, setelah kematian isteri pertamanya (ibu Salsabila) telah berkahwin lagi dan mempunyai seorang anak bernama Sharulzaman. Pada mulanya hubungan Salsabila dengan ibu tirinya kurang enak tetapi akhirnya menjadi baik hingga Salsabila yang sebelumnya memanggilnya sebagai mak cik telah menyebutnya sebagai mak.
Bersama berkembangnya ladang betik mereka, pembaca dihidangkan dengan kisah cinta empat lima segi Salsabila dengan sahabat karib zaman remajanya iaitu Kamil dan Lam, dan Sazli mandur ladang betik yang baru berumur 20 tahun dan lapan tahun lebih muda serta Teh Sofia yang mencintai Kamil. Teh Sofia setelah menyedari ada seperti bunga-bunga intim antara Salsabila dan Kamil merajuk membawa diri. Konflik sungguh. Kamil dan Lam (yang memeluk agama Islam kerana bermimpi Confucius memberitahunya tentang kenabian Nabi Muhammad SAW – hehehe, fiksyen dipergunakan sepenuhnya oleh penulis ini) berebutan Salsabila sejak mereka kanak-kanak lagi. Masing-masing cuba memenangi hati Salsabila yang bertindak jinak-jinak merpati. Nak kata nak seperti tak nak, tapi nak kata tak nak macam nak. Akhirnya persaingan kedua lelaki ini membawa kepada mereka bertumbuk dalam ladang betik dengan disaksikan para pekerja ladang. Seperti siapa menang dialah yang dapat memenangi hati Salsabila. Tentu saja ini membuat Salsabila berang.
Salsabila juga pening dengan tindakan Shahrulzaman menuntut duit daripadanya, dan kerana Salsabila enggan melayan permintaan itu adik tirinya telah cuba memperkosanya. Tetapi kehadiran Kamil telah menyelamatkannya. Dan dalam gelap malam Salsabila menyangka Sazli yang cuba melakukan perbuatan terkutuk itu. Salsabila enggan memberitahu polis apabila ditanya siapakah lelaki yang bertanggung jawab itu. Esoknya dia hanya membuang kerja lelaki itu. Kemudian setelah dia tahu siapa sebenarnya punya angkara, dan betapa yang menyelamatkan dia malam itu ialah Sazli bukan Kamil, dia telah meminta maaf kepada budak Sazli itu dan menjemputnya untuk bekerja semula. Tetapi Sazli lebih berminat untuk menyambung pelajaran ke Jerman.
Ketika mengerjakan umrah bersama ibu tirinya, Salsabila telah bertemu semula dengan Sazli yang kebetulan turut mengerjakan umrah. Ibu tirinya meninggal, dan petangnya, sesuai dengan ayat yang selalu diulang, 'Kerja Tuhan Siapa Tahu', dia membuat keputusan mendadak mengahwini Sazli. Panjang lagi cerita ini tetapi saya tidak ingin merosakkan mood pembaca. Lalu saya menamatkan sinopsisnya di sini saja.
Apa yang bagusnya tentang novel ini ialah pendirian penulis yang mengangkat Islam itu sebagai satu cara hidup. Setiap kali bermasalah, watak akan merujuk kepada Kekuasaan Tertinggi iaitu Allah, dan inilah yang sepatutnya dilakukan oleh semua orang Islam. Kekuatan lain novel ini juga ialah pengarang memiliki kemahiran bahasa yang tinggi. Banyak perkataan yang jarang-jarang digunakan terdapat dalam novel ini. Hanya yang menimbulkan tanda tanya, apabila dua orang Selangor bercakap sesama mereka apakah mereka akan menggunakan perkataan bergocah, perkataan Kelantan untuk bertumbuk. Kalau perkataan Minang atau Jawa tentu saja lebih mudah diterima.
Novel ini seharusnya menjadi novel yang baik tetapi telah dicacatkan oleh kerja-kerja penyuntingan yang lemah. Seharusnya novel ini dipadatkan kerana sedikit lewah. Saya tahu versi asalnya ialah novel bersiri dalam surat khabar yang harus mengikut format tele novela, tetapi untuk versi cetak tentunya boleh dibuat suntingan untuk memperkemaskan lagi cerita. Ada beberapa perkataan yang digunakan tidak ada dalam kamus Dewan edisi terbaru, dan tidak juga termuat dalam kamus Nusantara keluaran DBP Brunei malah tidak ditemui dalam kamus Indonesia. Ada juga percanggahan cerita, seperti mulanya diberitahu bahawa Sazli dibuang kerja, kemudian dikatakan dia berhenti kerja. Ada juga yang menjadi tanda tanya saya iaitu apakah hukumnya dalam Islam menuntut ganti rugi sesuatu yang belum pasti. Seperti ada unsur gharar dan riba di sini. Malah kalau kita kiaskan kepada hukum haram memajakkan buah-buahan yang belum masak tentu saja adalah tidak manis untuk Salsabila dan Teh Sofia yang amat menjunjung Islam menuntut ganti rugi buah betik yang belum berbunga pun daripada pemaju. Saya juga sedikit geli geleman dengan dialog romantis yang digunakan. Ada juga saya rasa setengah daripada dialog tidak manis ditulis dalam novel yang berteraskan Islam, sesuatu yang bagi ukuran saya berbaur seks. Mungkin juga kerana ukuran yang saya letak untuk penulis ini lebih tinggi. Padahal kalau dialog begitu ditulis oleh penulis novel popular lain saya tidak apa-apa pun.
Apa pun keseluruhannya, bagi saya novel ini bagus dan tentu saja berbaloi untuk dibaca. Dalam lambakan novel di pasaran yang tak habis saya baca, ia adalah antara novel yang mampu saya habiskan dengan rasa puas membacanya. Sebuah novel yang menjunjung Islam.
Posted at 12:16 am by zinrosdi
Permalink
Ulasan Buku - Memeluk Gerhana
Pengarang: ISA KAMARI : Memeluk Gerhana
Di antara sebab kenapa saya memilih untuk memiliki novel ini adalah kerana ; 1. Nama besar yang dibawanya 2. Saya terpesona dengan cover karikatur - lukisan yang bersifat kanak-kanan dengan gaya 'naive' dan 3. Sudah tentu blurbnya yang sungguh menerujakan!
" Zaman kanak-kanak kita merasa dengan kaki dan tangan.Sampai luka-luka bila tersandung dan jatuh. Kini sudah remaja, kita merasa dengan akal dan hati pula. Sering luka-luka juga kalau tersungkur dalam perjalanan. Kelak kalau dewasa bagaimana pula?"
Inilah kisahku, anak muda muda berumur dua puluh satu tahun. Ilham Sidek. Anak kampung Tawakal.Pelajar Raffles Institution. Tahanan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri. Aku utuskan doa kepada ayah dan ibu. Aku rindukan Syakila, kulitnya yang cerah,matanya yang jernih tawanya yang riang serta hatinya yang teguh dan ikhlas. Kata-kata hikmah Syakila kepadaku menjelma lagi dalam ingatan. 'Hendaklah engkau jadi orang besar, yang sangup memikul cinta yang besar. Kalau tak begitu,engkau akan beroleh cinta yang rendah dan murah, engkau menjadi pencium bumi, engkau akan jatuh ke bawah, tak jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh yang sukar tertempuh oleh manusia biasa.'
'Inilah warkahku dari perut bumi. Entah berapa lama lagi aku terpaksa memeluk gerhana ini.'
@@@@ @@ @@@@
Sebagaimana blurb. Sebegitulah jalan ceritanya.
Memeluk Gerhana bukan seperti cerita lain, pembaca akan dihidangkan dengan kisah cerekarama atau drama minggu ini. Membaca Memeluk Gerhana adalah seperti mencari harta karun..! Sungguh.
Novel ini di bahagikan kepada 3 bab besar dan kemudian dipecahkan mengikut tajuk-tajuk kecil yang 'simple'. Namun saya hanya dapat membuat ulasan dan ringkasan yang sedikit sahaja kerana selebihnya saya ingin anda sendiri membaca dan menilai karya yang sungguh hebat ini.
Di awal cerita penulis membawa pembaca menjejak ke Kampung Tawakal ke sekolah, ke hutan turut bersama-sama Ilham dan rakan-rakannya meneroka kenakalan zaman kanak-kanak.
Dan dari situlah ruang cerita ini mula mengalir...
Watak Ilham diadaptasikan oleh penulis dengan baik sekali. Wataknya sungguh dekat dengan pembaca. Seperti dia juga kawan kita, mengenalinya sedari kecil hingga menginjak usia remaja.
Ilham banyak mendengar,memerhati malah merasai apa yang digalas oleh ayahnya. Dalam usia yang masih hijau dia sudah dibiasa dengar dengan cerita-cerita dunia. Cerita Malaya yang dipisahkan dari Singapura. Kenaikan harga minyak sehinggalah kepada kegawatan yang meliputi warga Singapura.
Walaupun menghadapi tekanan hidup , ayahnya seorang yang berpandangan jauh. Ingin melihat kejayaan Ilham. Sedari kecil dia sudah diasah untuk menjadi anak yang cemerlang. Lansung dengan kecekalan keluarganya itu dia berjaya mengorak langkah menjadi penuntut RI ,menduduki Pra U dan akhirnya akan menjejak kaki ke universiti sehinggalah peristiwa hitam mengelapkan hidupnya.
Menuntut di RI memerlukan beliau lebih aktif dan bijak namun jiwa yang muda ada kalanya terdetik dengan kehadiran rasa cinta. Dia mula mengenali gadis-gadis ini. Menyimpan rindu dan ada pula mengundang rasa kecewa. Pada saat gundah melanda dia dihampiri Saifudin lalu diperkenalkan dengan ahli kumpulan Ikhwan. Pada awalnya penglibatan Ilham dalam kumpulan agama ini semata-mata untuk mendekatkan diri dan lebih mengenali Islam yang syumul namun tanpa disedarinya kumpulan itu mula mengalih arah untuk membentuk satu kumpulan rahsia yang memerlukan dia untuk dibaiah.
Kegiatan mereka mula mendapat perhatian pihak kerajaan. Hidupnya yang selama ini tenang mula berkocak dengan penahanan dan soal siasat oleh pihak berkuasa. Dipukul, disepak, dimaki dan diherdik menjadi santapannya kini..
Lalu katanya…
'Inilah warkahku dari perut bumi. Entah berapa lama lagi aku terpaksa memeluk gerhana ini.'
Cerita yang ikhlas, tulus dan berterus terang. Dari hati, lalu diicoretkan di atas kertas dan dibukukan. Memeluk Gerhana sungguh hebat! Tidak perlu bahasa yang dalam atau istilah yang sukar. Penerima Anugerah S.E.A Write Award ini menjadikannya mudah,santai dan menyenangkan.
Tahniah.
@ Dian @
Posted at 08:34 am by zinrosdi
Permalink
KEcuPU mengulas Balthasar's Odyssey

Tajuk : Balthasar's Odyssey:
Nama Tuhan ke Seratus
Pengarang : Amin Maalouf – Terjemahan oleh Atta Verin
Halaman : 618
Penerbit : Serambi
Tahun : 2006
Novel ini pada asalnya ditulis dalam bahasa Perancis karangan Amin Maalouf seorang Arab Kristian yang berasal dari Lebanon tapi kini telah menetap di Perancis. Beliau merupakan pemenang anugerah sastera Prix Goncourt 1993 dan di anggap salah seorang novelis terkemuka dunia saat ini. Membaca novel ini mengingatkan saya kepada The Zahir karya Paolo Coelho. Kalau The Zahir menceritakan kisah heronya mengembara untuk mencari isterinya yang hilang tetapi Balthasar's Odyssey ini mengisahkan pengembaraan seorang pejual buku bernama Balthasar. Novel ini berlatarkan Timur Tengah, Mediteranean dan Eropah pada abad ke tujuh belas Masihi. Balthasar merupakan seorang penjual buku di Gibelet, Lebanon. Dia yang berbangsa Genoa dan beragama Kristian secara tidak sengaja menerima sebuah buku bertajuk nama Tuhan keseratus dari seorang Muslim.
Sebelum itu saya kisahkah sedikit tentang nama Tuhan keseratus. Menurut seorang ustaz, ada riwayat mengatakan bahawa nama Tuhan itu ada 3000 semuanya. Tetapi yang diberitahu kepada manusia dalam al Quran adalah 99 sahaja. Ada pendapat yang mengatakan nama Tuhan keseratus itu Allah beritahu hanya kepada hamba terpilih yang telah dibuka hijab kalbunya dan berlainan bagi setiap manusia tersebut.
Kita berbalik semula kepada novel ini. Konon ceritanya, buku tersebut dapat menyelamatkan dunia dari kiamat yang diramal akan berlaku pada tahun 1666. Setelah menerima buku itu secara tidak sengaja dia telah menjualnya kepada seorang duta Kerajaan Perancis. Kemudian timbul kesal, seolah-olah dia nanti akan menjadi penyebab kepada kiamat, lalu dia memutuskan untuk mencari buku itu semula. Pengembaraannya menjejak buku itu ikut ditemani oleh seorang pengawalnya, dua orang anak saudaranya dan seorang perempuan yang pernah dicintai, janda kepada orang lain. Perempuan itu secara licik menyelinap ke dalam kafilah mereka untuk mencari surat cerai rasmi dari bekas suaminya.
Ikuti pengembaraannya yang dihiasi dengan kisah cinta, benturan antara agama dan peradaban dan dipenuhi dengan renungan falsafah serta kronik sejarah yang kaya. Sepanjang membacanya saya terhibur dan tidak merasa terdera atau bosan untuk menghabiskannya. Inilah sepatutnya yang cuba dilakukan oleh setengah (saya sebut setengah saja)pengarang-pengarang nama besar kita. Cabarannya ialah untuk menghasilkan novel-novel yang tidak menyiksa orang untuk menghabiskannya, dan bukannya menghasilkan karya yang menjemukan pembaca ramai. Juga bukan karya untuk dua tiga kerat pembaca yang merasa lebih hebat dari orang lain kerana menyukai karya tersebut. Untuk Balthasar's Odyssey, tahniah kepada pengarang (dan tentu saja penterjemah yang memiliki kemahiran bahasa yang tinggi) kerana menghasilkan buku yang berbaloi dibaca ini.
Posted at 07:38 am by zinrosdi
Permalink
KEcuPU mengulas Laila Majnun

Tajuk : Laila Majnun
Pengarang : Nizami Ganjavi
Halaman : 250 ms
Penerbit : OASE Mata Air Makna, Bandung
Tahun : Cetakan IX, 2007
Novel (?) ini telah diterjemahkan oleh Dede Aditya Kaswar daripada sebuah adaptasi prosa terjemahan Colin Turner. Karya asalnya merupakan 8000 baris syair oleh Nizami Ganjavi seorang penyair sufi dari Persia yang menulis syair tersebut untuk rajanya Shirvanshah sekitar 1188 M. Kisah percintaan ini dihubungkan kepada tokoh wujud iaitu seorang Badwi bernama Qays bin Al Mulawwah yang hidup pada paruh kedua abad ketujuh Masihi di padang pasir Najd.
Ringkasan ceritanya tidak perlulah saya perincikan kerana semua orang maklum ceritanya - kisah penyair yang 'gila cinta' terhadap Laila, gadis padang pasir yang terkenal cantik. Agak saya sesiapa yang tidak mengetahui cerita ini jadilah dia seperti orang putih yang tidak tahu kisah Romeo and Juliet. Tapi kerana usia novel ini sudah 800 tahun lebih maka janganlah mengharapkan sebuah karya penuh suspens atau thriller daripada novel ini. Jangan juga mengharapkan sebarang teknik seperti teknik imbas hadapan atau teknik imbas belakang. Plotnya juga mudah. Gaya penceritaannya juga mudah. Apabila anda membacanya anggaplah anda sedang menonton filem P. Ramlee. Anda akan menikmatinya. Kita meminati filem-filem beliau kerana kita tahu filem tersebut diterbitkan pada zaman filem hitam putih dulu. Semuanya sesuai dengan zaman tersebut. Filem Harrod Lyold lebihlah lagi. Tetapi sekiranya filem dengan cerita, teknik dan plot yang sama diterbitkan pada tahun 2007 dapatkah kita menerimanya dan ketawa terbahak-bahak?.
Sesuai dengan semangat dan matlamat sastera tradisi Islam (bukan maksud saya ada Islam bertamadun dan Islam tidak bertamadun kerana Islam itu satu sahaja tetapi saya merujuk kepada sejarah sastera dalam peradaban Islam) penekanan diberikan mesej yang hendak disampaikan. Kisah cinta ini sebenarnya adalah metafora cinta manusia dengan Penciptanya. Kisah ini adalah sebuah alegori dari perjalanan sufi untuk sampai kepada Tuhan. Cinta sang pencinta, Majnun kepada Laila adalah metafora cinta manusia kepada Tuhannya. Cinta Majnun adalah cinta yang menelan egonya hingga kepada tahap peniadaan diri. Manakala cinta Laila kepada Majnun adalah metafora cinta Tuhan kepada hambanya; tersembunyi dan tidak dinyatakan tetapi wujud. Sekiranya anda biasa membaca kitab-kitab sufi dan tasauf seperti Risalah Sufi al Qushairi, mengenai cinta kepada Allah anda akan dapat memahami metafora ini dengan mudah.
Bahasa yang digunakan dalam buku ini amat indah. Terasa seperti membaca bait-bait puisi cinta. Saya mengambil masa beberapa hari untuk menghabiskan buku ini kerana mahu menghayati setiap perkataan yang tertulis. Tahniah untuk penterjemah!
KEcuPU
Posted at 06:28 am by zinrosdi
Permalink
Tajuk : Sangeetha
Pengarang : Azizi Haji Abdullah
Halaman : 560 muka surat
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Tahun : 2006

Maafkan saya terpaksa menulis begini, beliau penulis besar, tapi saya harus berlaku jujur kepada diri sendiri. Inilah kelebihan pengulas tiada nama atau yang bersembunyi di sebalik pseudonim kerana dia boleh mengatakan apa saja tanpa merasa apa-apa. Saya seperti angin dapat dirasa tidak dapat dilihat dan saya tidak dapat dikurung atau disekat. Berbalik kepada Sangeetha, saya merasa seperti terdera untuk menghabiskannya. Untuk mereka yang berfikiran seperti saya pastikan anda dikurung dalam bilik bersama buku ini sebelum membacanya. Jangan salah faham, bukan maksud saya novel ini tidak bagus. Hanya novel ini tidak memikat saya. Ah! Barangkali saya juga peminat novel popular atau cerita dewa dewi.
Saya membeli novel ini kerana nama besar pengarangnya dan mengharapkan sesuatu yang setaraf dengan Orang Tua di Kaki Gunung. Mungkin juga kerana tajuknya yang ada iras-iras novel Sindharta karya terjemahan dari Jerman yang tidak jadi saya beli kerana isi kandungan yang sedikit bertentangan dengan pendirian saya.
Novel ini berkisar kepada percintaan antara Derus 60 tahun dengan Sangeetha seorang balu berbangsa India yang berumur 70 tahun. Sesiapa yang mengharapkan hero dan heroin yang kacak dan cantik saya nasihatkan jangan membaca dari awal lagi. Anda akan kecewa. Tapi siapa yang ingin kelainan bolehlah membacanya. Derus ialah seorang pemain gambus dan Sangeetha, atau nama manjanya Geetha seorang balu kepada pemain tabla juga sudah mula belajar menepuk tabla. Ah romantisnya! Gambus dan Tabla, seperti ungkapan ikan di laut asam di darat dalam kuali bertemu jua. Gambus di petik Derus dan Tabla di tepuk Geetha dalam irama bertemu jua. Derus sebenarnya merupakan seorang posmen pencen yang menjadi – walau tidak diakuinya – tukang kebun di rumah Sangeetha seorang balu kaya. Barangkali kerana selalu bertentang mata atau kerana masing-masing kesunyian mereka terjatuh cinta. Untuk mengetahui kesudahan cinta mereka habiskanlah novel ini sendiri.
Bahasa yang digunakan oleh Tuan Azizi Abdullah bagus. Bahasanya tinggi dan bila membaca kita tidak berasa bodoh atau diperbodohkan. Banyak perkataan yang memerlukan kita menyemak kamus kalau kita berhasrat ingin tahu lebih mendalam tapi kalau setakat kita ingin memahami cerita tidak perlulah berbuat begitu. Setengahnya perkataan utara setengahnya perkataan Jawa dan setengahnya perkataan burung. Ya perkataan burung. Bunyi kidung burung ditulis dalam bentuk perkataan. Tapi bunyi burung terkukur dalam novel itu berbeza sedikit dengan bunyi burung di tempat saya. Entahlah mungkin burung juga seperti orang ada dialek masing-masing atau saya yang buta huruf untuk membaca bunyi itu.
Plot ceritanya juga baik walau sedikit perlahan. Mungkin kerana novel ini menceritakan kisah orang tua jadi perjalanan cerita perlulah disesuaikan dengan usia mereka. Mana mungkin heroin yang berusia 70 tahun bergerak pantas seperti Lara Croft atau Trinity dari trilogi Matrix. Saya pasti sekiranya mendiang Kurusawa – pengarah filem Jepun yang terkenal – masih hidup dan disuruh membaca novel ini dia akan berkata novel ini tidak memenuhi piawaian berceritanya. Bagi Kurusawa setiap adegan atau babak mestilah laju dan pantas.
Tuan Azizi mengambarkan watak dan suasana dengan bagus. Saya dapat membayangkan keriput wajah Sangeetha atau ketuaan Derus. Saya nampak cara Sangeetha bangun dari bertimpuhnya dan saya nampak cara Derus bermain dengan burung terkukur itu. Mungkin juga saya dibantu oleh pengalaman sedia ada ketika kanak-kanak melihat sepupu ayah saya bermain dengan burung terkukur juaranya. Saya dapat memahami kemelut dalaman Derus-Sangeetha. Saya juga nampak gambaran rumah British-Malaya lama yang jadi rumah Sangeetha. Penerangannya tentang bentuk dan reka bentuk rumah ditulis dengan cara yang menarik.
Tuan Azizi juga memperincikan penceritaannya tentang tabla, gambus dan segala yang bersangkutan. Beliau menceritakan dengan baik tentang cara tepukan tabla atau cara memetik gambus tapi kerana saya buta muzik maka saya hanya setakat baca sajalah. Nama-nama lagu yang dimainkan juga disebut berulang-ulang kali sehingga kita mudah hafal nama lagu tersebut.
Apa pun tabik untuk Tuan Azizi atas kebolehan dan kepandaiannya bercerita dengan baik. Keseluruhannya, entahlah, saya sedang bergumbira membaca tetralogi Andrea Hirata dan selepas ini bercadang hendak membaca Laela Majnun, sebuah karya sufi karangan Nizami.
KEcuPU
Posted at 09:13 am by zinrosdi
Permalink
Ulasan Buku Naratif Ogonshoto
Tajuk : Naratif Ogonshoto Penulis : Anwar Ridhwan Halaman : 256 muka surat Penerbit : Penerbit Arsalia Tahun : Cetakan Pertama 2001
Novel ini tidak saya temui di rak kedai-kedai buku besar. Mereka adalah kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan mana mungkin mahu menjual buku-buku yang peluang untuk menjadi best seller sama dengan peluang untuk mendapat ikan mengail dengan menggunakan umpan screw. Tapi tidak tahulah, entah saya yang terlepas pandang dan sekarang sedang membuat fitnah terhadap kedai-kedai tersebut. Novel ini saya temui di rak buku DBP. Saya ambil dan setelah membaca muka depan saya mengetahui novel ini telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa dunia. Saya terus bertanya kepada diri apakah saya sekarang sedang memegang buku setaraf dengan karya agung lain. Seperti biasa, itulah kelebihan DBP, novel mereka harganya lebih mahal berbanding dengan novel-novel keluaran lain. Entahlah, semasa belajar ekonomi dulu saya difahamkan bahawa agensi kerajaan boleh beroperasi dalam keuntungan sifar dan fungsi mereka lebih kepada memberi perkhidmatan. Jadi bagaimana mungkin menggalakkan orang membaca karya yang mereka dakwa sebagai karya sastera itu kalau harganya terlalu tinggi.
Novel ini tiada hero dan heroin tapi ada penjahat iaitu sang Presiden. Bagi saya ia adalah satu antologi cerpen atau sekumpulan cerita yang berkisarkan kehidupan di sebuah pulau di Pasifik bernama Ogonshoto. Kecuali watak Presiden watak lain akan mati pada setiap bab sama ada mati kerana dibunuh Presiden atau mati dibunuh pengarangnya. Pokok ceritanya ialah bagaimana Presiden ini berjaya menjadi presiden dan bagaimana dia berjaya mengekal pemerintahannya. Sesuai dengan tajuknya Naratif bentuk penceritaannya jarang-jarang menggunakan dialog watak. Sesiapa yang memiliki daya tumpuan yang rendah dinasihatkan jangan membaca buku ini.
Novel ini bagi saya adalah sebuah Sh*t (Shahnon Ahmad) yang ditulis dengan teliti, cermat dan berhemah tanpa menyerang secara membabi buta. Tapi tidak tahulah tepat atau tidak perbandingan saya ini kerana saya hanya mampu membaca Sh*t sebanyak tiga muka surat sahaja sebelum menguburnya dalam kotak buku-buku yang tidak mahu saya letak di rak. Novel ini juga bagi saya ditulis untuk golongan yang mahu berfikir. Sebenarnya lebih banyak yang tersirat daripada yang tersurat dalam novel ini. Jadi anda hendaklah pandai menggali permata yang tersembunyi itu. Bahasa yang digunakan tinggi. Sesetengah ayat terpaksa saya baca dua kali sebelum dapat memahaminya. Jika anda membaca Ruby Hazri dan mengatakan bahawa saya tidak faham buku Ruby jangan baca novel ini kerana saya garenti anda tidak akan memahaminya. Perumpamaan yang saya gunakan cukup mudah, semua orang tahu
1 + 1 = 2
dari budak darjah satu sampai professor matematik tapi kalau diberi satu persamaan seperti
z = (ax-by)/(cx+dy)
dan diminta cari keanjalannya hanya orang yang belajar ekonomi matematik saja yang tau jawabnya. Inilah novel ini. Ia bukan seperti novel yang boleh difahami oleh budak darjah lima hingga orang berumur sembilan puluh lima. Anda memerlukan bantuan kamus untuk setengah perkataannya sebelum anda dapat memahami keseluruhan ayat. Apabila anda membawa buku ini terasa seperti zaman dulu-dulu pelajar mengelek buku Matematik Tambahan. Bahasa yang digunakan adalah matang. Kalau anda membaca Imaen dan mengatakan bahasa Imaen matang bermakna anda belum membaca buku ini.
Tetapi tidak tahulah saya sama ada secara kebetulan atau tidak tapi beberapa bahagian daripada cerita ini rasanya seperti saya pernah baca dalam beberapa buku lain – tentunya bukan karya popular - tetapi diberi bentuk baru. Kekurangan buku ini pada saya ialah pada akhir cerita walau tidak dinyatakan dengan sebaris ayat jelas tetapi sebenarnya boleh diterjemahkan kepada rupa-rupanya aku bermimpi! Untuk nilai cerita, jalan cerita dan plot saya memberi markah yang rendah untuk cerita ini tetapi untuk bahasa dan isi yang tersembunyi saya memberi markah yang sangat tinggi. Sekarang saya sedang mencari novel Di Negeri Belalang karya pengarang yang sama.
KEcuPU
Posted at 07:21 am by zinrosdi
Permalink
Ulasan Buku - Kasih Seharum Lavender
Hatiku dipanah rasa, mindaku diusik bayanganmu,
dan setitis haruman kasihku mewangi tanpa sedar...

Pengarang : Eita Ashyta
Jumlah Halaman : 621
Harga : RM19.00
Penerbit : KAKI NOVEL ENTERPRISE
Saya tertarik untuk mengulas novel ini apabila terpengaruh dengan beberapa blogger yang membuat promosi di blog masing-masing. Saya beranggapan tentu ia cerita menarik dan apa salahnya jika saya sendiri cuba mendapatkan novel ini dan menilainya daripada sudut pandangan dan citarasa saya pula ;)
Saya mula membacanya dengan lenggok bahasa yang segar saya kira tiada perkataan jemu yang mengganggu emosi pembacaan saya.
Eita Ashyta memulakan cerita ini dengan memperkenalkan Nur Irdina Farhani sebagai watak utama. Penuntut jurusan senibina di UK. Irdina @ Hani anak yatim yang mempunyai keluarga yang bahagia. Memiliki ummi yang baik dan abang yang prihatin yang selalu mengusiknya.
Mungkin permulaan ceritanya agak perlahan sedikit namun pembacaan saya diisi dengan mengenali watak-watak yang melingkari kehidupan Hani di bumi Peter Pan itu. Mengenali 'Miss Snooty' yang bermusuhan dengannya namun akhirnya mereka bersahabat baik dan langsung dianggap saudara. Saya mula menyukai Lyn ( Miss Snooty ) Walau ada ketikanya gadis itu terlalu dimenangi kehendaknya. Saya dihidangkan dengan persekitaran bumi eropah itu yang indah ( mungkin penulisnya pernah tinggal di sana ?? mungkin )
Sekembalinya ke tanahair Hani bertugas di Menhir Architect. Berkerjasama dengan anak pemilik syarikat yang ego dan 'kepala angin' itu sedikit sebanyak menyulitkan kerja Hani. Dia sedaya upaya melakukan yang terbaik namun usahanya itu sentiasa dipandang serong oleh Ezany. Ada sahaja perkara yang tidak kena dimata lelaki itu.
Hani yang menawan adakalanya terusik dengan guruan Ezany namun bila cuba ditilik hatinya..sendiri, rupa-rupanya perasaan halus dan indah itu hanya berbisik rindu pada seseorang. Perasaan indah itu cukup bergetar pabila terpandang sang arjunanya . Teruna yang dituduh mencemar maruahnya di shooping complex . Rupa-rupanya masih ada pertemua selepas insiden lucu itu. Dan kini jejaka itulah yang selalu membuat perasaannya berkocak. . Namun Hani masih keliru adakah Hadif juga mempunyai perasaan sepertinya. Dia enggan jika hanya dia yang memburu rasa sedangkan Hadif masih dipanah bisa cinta Hayana Balkis. Dia ingin menunaikan hasrat keluarga namun awan kebimbangan sentiasa memayungi perasaannya.
Eita Ashyta mencipta kemelut apabila Hani menyedari Lyn juga menyimpan rasa terhadap Hadif. Langsung tidak diduganya jejaka yang selalu disebut-sebut itu adalah bakal tunangannya. Hani keliru dengan perasaan cintanya, keliru andai Hadif tidak bisa mencintainya dan keliru kerana Lyn sahabat yang dianggap saudaranya itu tidak mengetahui pertalian yang bakal wujud di antara dia dan Hadif.
Saya turut bimbang mengenangkan Hani. Saya bimbang jika membaca kisah ini akan sama seperti membaca kisah-kisah lain atau menonton cerita melayu di televisyen. Saya sudah jemu pabila seseorang watak itu asyik berkorban untuk orang lain tanpa memberi ruang untuk dirinya sendiri. Padahal dia juga layak untuk menerima rasa bahagia.
Syukran! Eita memberi kelainan. Dia bijak berfikir dan bijak mencetus idea lain. Dia menghidupkan watak Hani dengan baik sekali.
Hani cuba memberi ruang untuk hatinya walau ada sedikit rasa ragu-ragu adakah tindakan yang dibuatnya itu betul. Begitulah sepatutnya. Menghargai orang yang mencintai kita. Memberi masa untuk sebuah perhubungan seperti hubungannya dengan Lyn..dengan memberi sedikit ruang, Lyn kembali mencantum kembali hubungan persahabatan/persaudaraan mereka setelah disedarinya dia hanya melakar perasaan indah itu sendirian.
Saya dapat mengagak andai Ezany juga mempunyai perasaan terhadap Hani. Telahan pembaca juga, saya andaikan ramai yang dapat menebak perasaan jejaka kacukan itu. Namun dia terlewat mengambil langkah atau dengan lebih tepat namanya tiada di Luh Mahfuz bersama Hani kerana gadis itu tidak pernah bertunas perasaannya terhadap Ezany yang dianggap sebagai teman baiknya itu.
Oh, saya sungguh berpuas hati dengan Kasih Seharum Lavender. Tenang dan damai seperti harumnya bunga itu. Manis warnanya seperti manisnya Eita menggunakan ayat-ayat yang comel dan bersahaja.
Saya asyik teringat usikan Adelia mengenai " Pak Ngah.. Mak Ngah..Abang ..Hani…Adeh la.." ( m.s 411) dan dia pula sudah pura-pura pengsan tergolek di atas parguet. Lucunya dia.
Untuk penulis amatur sepertinya saya berani mengatakan Kasih Seharum Lavender sungguh menawan.
Thumbs up Eita.
@ Dian @
Posted at 08:44 pm by zinrosdi
Permalink
Ulasan Buku - maafkanlah Aku...
maafkanlah Aku...
Sekali lagi saya diperangkap dengan tulisannya yang sungguh mengkagumkan. Saya menyelesaikan bacaan dalam tempoh 24 jam. Tak tertahan untuk mengetahui kandungan seterusnya. Masa yang sedikit itu saya diisi dengan ceritanya yang sungguh kemas dan telus.
Pengarang – Zaharah Muhammad
Halaman - 416
Harga - 20.90
Terbitan - CESB
Nostalgia silam bagaikan berenang-renang mencari lubuk lama yang ditinggalkan. Saban waktu pada akhir-akhir ini…kerap kali jua muncul dalam aliran rindu yang membasahkan lenanya…
HANYA KEAMPUNAN DAN CINTA ALLAH YANG DIDAMBANYA KINI
Sufi, empat abjad. Nama yang mewakili wanita itu. Dalam usia yang muda dia telah diwarnai dengan pelbagai persoalan. Sufi, si gadis yatim piatu. Dia menjadi tunggal dan sebatang kara apabila dia, adik beradik telah dipisahkan. Sufian saudara kembarnya dan Safuan si bongsu. Mereka menjadi piatu kala senja dan renyai hujan menyimbah bumi.
Diawal cerita lagi Zaharah telah mencuri air mata saya. Rasa pilu menyelubungi pabila membayangkan mereka 3 saudara itu menunggu kepulangan ayah banda yang akhirnya diterima dengan jasad yang kaku. Apalah yang terdaya dilaku oleh anak-anak kecil itu. Dalam usia 9 tahun apalah daya Sufi untuk mempertahankan adik-adiknya daripada diambil orang. Akhirnya dia juga di bawa pergi apabila bapa saudaranya yang telah kembali daripada Australia mencari dan mengambilnya untuk dipelihara. Bagi Abdul Rahman, Sufi adalah amanah. Hanya Sufi yang tinggal bagi mewakili keturunan Kiai Agus
Membesar dengan limpahan kasih sayang yang tepu daripada keluarga Abdul Rahman dan Umi Aisyah tidak merosakkan Sufi yang zuhud sifatnya. Membesar bersama 5 saudara lelaki tidak pernah dipandang alpa olehnya. Walau bagaimanapun, kemanjaan yang dicurahkan kadang kala membuatkan ada hati lain yang terluka. Menyedari hal itu Sufi cuba menjarakkan hubungan mereka . Kini dia mula sedari walau sebesar manapun dia mengasihi mereka namun hukum ALLAH tetap mengatakan mereka bukanlah muhrim kerana mereka hanyalah saudara sepupu.
Ribut dihati Sufi kian bergelora. Dia menyedari dalam limpahan kasih sayang itu rupa-rupanya masih ada ruang yang kosong. Sekosong hatinya yang ditinggalkan. Ketentuan yang ditakdirkan telah menemukan kembali Safuan yang dirinduinya. Adik kecil yang terpisah 17 tahun lalu. Namun pertemuan itu bukan detik bahagia pabila Ahmad Sarji, adik angkatnya memaklumkan bahawa ada noda diantara mereka berdua. Hati seorang Sufi berlagu pilu. Dia menyalahkan diri kerana malapetaka itu. Abdul Rahman pula menganggap itu adalah timbal balas ke atas semua dosa-dosanya yang lalu. Kifarah yang harus dipikul.
Jika itu adalah kehendakNya , siapalah kita yang hendak membantah. Kerinduan Safuan untuk menatap Kaabah dan kucupan salam di tangan Sufi merupakan yang terakhir. Safuan di jemput pergi. Jemputan yang di nanti biarpun meninggalkan Zamzarina yang sudah terikat hatinya. Kali ini, kehilangan itu adalah abadi.
Sufi membawa hati yang walang, menapak kembali ke lorong silam tatkala dia berlari-lari di batas sawah bersama Sufian dan Safuan. Dia ingin kembali mencedok ingatan itu. Mengimbau kembali kenangan lalu. Namun ketibaanya di rumah pusaka itu di sambut dengan kejutan. Yang muncul dihadapannya kini ialah seraut wajah lelaki yang sekian lama dirinduinya. Wajah yang mengunci hatinya daripada diketuk oleh mana-mana lelaki. Namun wajah itu juga wajah luka hatinya. Wajah Sufian !
@@@@ @ @@@ @ @@@@
Novel ini dicetak pada tahun 2004. Sudah 2 tahun berlalu namun kelewatan saya untuk menantapnya sungguh saya kesali. Bagaimana saya terlepas pandang novel ini, atau memang waktu itu saya telah dijanjikan belum bertemu jodoh dengannya ?
Zaharah berjaya mengikat saya untuk terus menatap bait-bait ayat di dalam novel ini . Memang tidak dinafikan. Zaharah dengan tenang mengadun kisahnya dengan bahasa yang indah, halus dan sopan. Zaharah bersahaja dalam meloret kisahnya, biarpun kisah sedih ataupun kuntuman senyum. Mata saya ralit menatapnya. Keupayaan Zaharah menyelami kisah mereka ini membuatkan saya turut sama ingin mengenali Sufi dan keluarganya.
Kebetulan yang dihadapi Sufi adalah kebetulan yang tersurat untuknya. Semua watak-watak di dalam novel ini mengamit simpati saya. Saya tidak juga mempu membenci Baktiar dengan ketelanjurannya 10 tahun lampau. Saya juga tidak memusuhi Zahim kerana dia yang selalu mengherdik Sufi. Saya memahami tekanan yang diratapinya itu. Saya mengkagumi Ahmad Sarji yang berdosa hidupnya dan ingin kembali merapatkan sujud kepada ALLAH S.W.T. Keinsafan Safuan sungguh meruntun hati wanita saya. Dan, Sufian, lelaki hebat itu yang telah mencuri ketenangan Sufi.
Lukisan hatinya sering bersenandung hujan. Pelariannya membawa dia kembali semula ke sisi meraka yang menyayanginya. Sufi kerinduan untuk bertemu Khaliknya . Kebimbangan jika memiliki Sufian adalah satu kejanggalan bagi dirinya untuk merapatkan hubungan dengan Allah S.W.T. maka, dia ingin rasa itu pergi kerana mencintai DIA lebih bererti!
Saya menutup novel ini dengan rasa yang menginsafkan. maafkan Aku…secara tidak langsung telah mendidik jiwa saya yang keras hatinya. Saya dambakan manusia seperti Sufi yang baik akhlaknya dan santun jiwanya.
Terima kasih Zaharah untuk maafkanlah Aku…
Posted at 02:57 am by zinrosdi
Permalink
Ulasan Buku - Percayalah...
Percayalah…
Saya tidak pernah berkesempatan membaca karya ini dilaman asal blog penulisnya. Lantaran saya telah dimaklumkan yang manuskrip ini akan diterbitkan dalam edisi penuh. mmm..saya menantinya kerana ingin sekali membaca tanpa sebarang gangguan.
Mana mungkin lagi untuk ombak perasaan ini mampu menghempas pantai hatimu… kalau sudah ada benteng di situ? - Danial Wolfgang
Mengapa Danial, kau tidak pernah jemu-jemu menatap kamar hatiku ini dalam remang-remang cahaya lampu oren itu? - Nur Atiqah
Ruby melatarkan kisah ini di bumi Jerman. Stuttgart, menemukan Nur Atiqah dalam mengenali cinta. Stuttgart juga mengembalikan jatidiri Danial Wolfgang yang tergelincir. Mungkinkah Stuttgart juga mampu menyatukan kasih mereka ?
Menyambung pelajaran dan menjalani kehidupan di bumi asing bukanlah sesuatu yang menyenangkan buat Atiqah. Lantaran latar budaya dan resam yang berbeza, namun dia tidak keseorangan. Teman-teman dari tanah air menjadi pendorong juga kekuatannya untuk menghadapi segala dugaan. Dinginnya bumi Stuttgart cuba diceriakan dengan teman-teman yang sama-sama merantau demi tuntutan ilmu.
Dahulu, dia bukanlah siapa-siapa. Dia alpa dengan dunia ciptaannya sendiri. Dia lupa yang dihanyalah makhluk ciptaan yang Maha Kuasa. Dia hanyut dalam kencah yang jijik. Dia seolah-oleh menjadikan alasan kehilangan bonda menyebabkan dia dibawa arus sedemikian, pada hal dia masih punya ayah yang penyayang malaham pengasuh yang sungguh mengasihinya. Dia lalai dalam mengenali kasih mereka. Malah dia cuba pula mnyingkirkan apa yang ada disekelilingnya .Dia, Danial Wolfgang.
Bagaimana hati akan terpaut jika pada awal-awal lagi dia disergah sedemikian? Bagaimana hatinya tidak terasa padahal mereka dari rumpun yang sama, biar pada dasarnya akar itu sudah berselirat , namun mereka masih dari tunjang yang satu. Perkenalan mereka bukanlah diatur-atur. Namun, sedari awal lagi Danial seperti terpana memandang wajah Atiqah yang seiras ibunya. Wanita melayu yang telah dibuang keluarga demi cinta!
Danial nekad untuk mengenali Atiqah walau bukan sedikit dugaan yang perlu ditempuhi. Mengenali wanita itu umpama mula mengenali diri. Danial yang kucar-kacir hidupnya tidak terasa terhina kerana Atiqah secara halus telah cuba mendidik hatinya. Danial mula menilik diri. Dia ingin kembali ke jalan-Nya. Jalan yang telah lama ditinggalkan.
Cinta pada Atiqah adalah anugerah. Cinta itu juga telah membawa dirinya pulang ke tanah kelahiran Sabariah, ibunya. Dia meninggalkan Atiqah di bumi asing sendirian ... meninggalkan wanita itu tanpa dimaklumkan perkara sebenar. Danial ingin kembali mencari identiti milik ibunya kerana dibimbangi andai Atiqah itu adalah wanita ajnabi, yang tidak layak dikahwini padahal ijab dan kabul telah diterimanya dahulu.
Mengenali salahsilah keluarga ibunya membawa kepada perkenalan diantara Khairi,l sepupunya yang juga bekas majikan kepada Atiqah. Khairil yang tertawan dengan pesona Atiqah tidak pula menolak hajat keluarganya untuk menyunting wanita itu. Dia ingin Atiqah menjadi ibu kepada Fatin dan suri dihatinya. Kejelitaan dan kesantunan Atiqah juga membuatkan Iskandar sanggup terbang ke bumi Jerman. Iskandar cuba mengenali hati wanita itu namun kedinginan Atiqah membuka peluang kepada Nadia untuk mengintai hati Iskandar yang didakwa Atiqah sebagai sepupunya.
Atiqah terpasung dengan perasaannya sendiri. Bagaimana hatinya akan terurai jika simpulan mati itu hanya Danial yang mampu merungkai? Dia tersiksa dengan rasa cinta yang terpendam. Danial yang turut disimbah perasaan cinta itu hanya mampu memandang sinar lampu oren dari kamar Atiqah. Memandang kilaunya sahaja seperti mengubat rindu yang menggunung. Sebenarnya, mereka sama sahaja. Memendam rasa. Lalu pabila rasa itu masak meranum ia bertukar menjadi racun. Atiqah mula mencemburui Dewi, teman rapatnya dan juga sahabat baik Danial. Dia mulai sangsi dengan perasaan Dewi terhadap Danial sedangkan Dewi itu sudah maklum benar perasaan mereka berdua. Kebijaksanaan Dewi berjaya mengumpan Atiqah untuk membuka rahsia hatinya sendiri. Mmmmm…kan senang begitu J
( saya kasihan kepada Danial kerana perasaannya tidak cuba difahami oleh Atiqah dan menjadi geram kerana Atiqah pula cuba untuk menidakkan perasaannya terhadap Danial. Padahal jika mereka berbicara mungkin tidak akan wujud salah faham sedemikian )
Merujuk kepada latar belakang penulis yang pernah menetap di Jerman, Ruby berjaya membuatkan saya turut terasa berada di bumi 'Hitler' itu. Latarnya, keindahannya malahan disiapkan sekali glosari bahasa Jerman bagi merujuk kepada beberapa dialog perbualan mereka. Menarik bukan J.
Biarpun telah menyelesaikan bacaan, saya masih terkenangkan keindahan tasik Bodensee yang menghubungkan 3 buah negara itu. Saya juga tertarik pabila Ruby melakarkan saat-saat manis tika Danial dan Atiqah berada di sekitar tasik tersebut kerana tidak ramai lelaki sudi berkongsi kenangan peribadi mereka dengan sesiapa. Tetapi pabila Danial yang bersusah payah membawa Atiqah untuk melihat tempat dia dilahirkan. Itu adalah petanda " You're my girl ". Mmm... manisnya.
Saya simpati dengan liku-liku kehidupan Danial. Dibesarkan tanpa ibu walaupun Chik sentiasa disisi namun manakan sama dengan kasihnya ibu. Membesar dibumi yang majoritinya bukan beragama Islam dengan latar agama yang goyah mana mungkin Danial tidak akan hanyut dan tersasar pegangannya. Kesedihan dengan pemergian isteri tercinta terus diratapi oleh Mr. Wolfgang lalu anak yang ditinggalkan itu dimewahkan dengan timbunan kesenangan.Mungkin padanya begitulah cara untuk menggembirakan si anak tanpa menyedari limpahan itu akhirnya memakan diri. Danial semakin jauh daripadanya. Danial lebih gembira di luar sana daripada duduk dan berbual-bual dengannya Hari-harinya dilalui dengan sepi sekali. Sebagaimana sepi hati tuanya.
Untuk karya pertama dan sebagai seorang penulis baru, Percayalah… secara keseluruhannya tidak mengecewakankan. Saya yakin untuk novel-novel akan datang Ruby pasti akan lebih menyerlah dan baik dari segala segi.
Ruby, good luck
@ Dian @
Buku ini membawa saya lebih menghayati suasana dan jiwa satu-satu watak, lebih daripada kisah cinta itu sendiri. Gaya penulisan Ruby Hazri memberi penekanan pada nilai jati diri, persekitaran yang hidup, cinta tanpa lafaz.
Jarang sekali dapat membaca kisah yang berlatarkan negara Jerman (melainkan cerita zaman perang dunia ke dua dulu, itu pun saya lebih suka menonton filem). Tetapi penulis ini membawa saya ke sana, turut merasai angin musim luruh yang mencengkam tulang, membayangkan di ruang fikiran kedudukan bangunan-bangunannya, stesen kereta apinya, jalan rayanya dan kedai-kedainya. Saya kagum dengan ingatan penulis pada tempat-tempat itu.
Saya jadi jatuh simpati pada Danial, turut merasai betapa jiwanya memberontak ketika kehilangan ibu, turut merasai betapa saratnya perasaan yang terpendam sewaktu menatap lampu oren itu, merasai betapa rindunya dia pada Atiqah sewaktu mereka berselisih-faham.
Atiqah pula ialah satu watak yang sinonim dengan kebanyakan gadis timur. Pemalu, pendiam, serius. Dan tidak sekali-kali membiarkan diri tersua-sua pada lelaki.
Saya tidaklah ketawa hu ha hu ha semasa membaca buku ini tetapi senyum tetap ditarik pada Alex yang ‘hidup’. Tidak juga menangis terngongoi-ngongoi tetapi apa yang dirasai satu-satu watak itu turut dikesan di hati.
Penulis mengingatkan bahawa indahnya cinta itu dari bahasa hati, lebih daripada ungkapan mulut. Kesannya rupanya lebih mendalam dari cinta yang dilafaz, pada saya.
Tidak tahulah pada pembaca lain, tapi bagi saya Percayalah… adalah seperti ‘dokumentari’ romantis – ada pengetahuan dalam asyik. Sesuatu yang lain dari seorang penulis baru.
Rasa LuPiNE
Posted at 05:43 am by zinrosdi
Permalink
Posted at 02:18 am by zinrosdi
Permalink
|