Entry: Ulasan Buku - maafkanlah Aku... Nov 26, 2006



 maafkanlah Aku...

Sekali lagi saya diperangkap dengan tulisannya yang sungguh mengkagumkan. Saya menyelesaikan bacaan dalam tempoh 24 jam. Tak tertahan untuk mengetahui kandungan seterusnya. Masa yang sedikit itu saya diisi dengan ceritanya yang sungguh kemas dan telus. 

Pengarang – Zaharah Muhammad

Halaman - 416

Harga - 20.90

Terbitan - CESB

 

Nostalgia silam bagaikan berenang-renang mencari lubuk lama yang ditinggalkan. Saban waktu pada akhir-akhir ini…kerap kali jua muncul dalam aliran rindu yang membasahkan lenanya…

HANYA KEAMPUNAN DAN CINTA ALLAH YANG DIDAMBANYA KINI

 

Sufi, empat abjad. Nama yang mewakili wanita itu. Dalam usia yang muda dia telah diwarnai dengan pelbagai persoalan. Sufi, si gadis yatim piatu. Dia menjadi tunggal dan sebatang kara apabila dia, adik beradik telah dipisahkan. Sufian saudara kembarnya dan Safuan si bongsu. Mereka menjadi piatu kala senja dan renyai hujan menyimbah bumi.

Diawal cerita lagi Zaharah telah mencuri air mata saya. Rasa pilu menyelubungi pabila membayangkan mereka 3 saudara itu menunggu kepulangan ayah banda yang akhirnya diterima dengan jasad yang kaku. Apalah yang terdaya dilaku oleh anak-anak kecil itu. Dalam usia 9 tahun apalah daya Sufi untuk mempertahankan adik-adiknya daripada diambil orang. Akhirnya dia juga di bawa pergi apabila bapa saudaranya yang telah kembali daripada Australia mencari dan mengambilnya untuk dipelihara. Bagi  Abdul Rahman, Sufi adalah amanah. Hanya Sufi yang tinggal bagi mewakili keturunan Kiai Agus

Membesar dengan limpahan kasih sayang yang tepu daripada keluarga Abdul Rahman dan Umi Aisyah tidak merosakkan Sufi yang zuhud sifatnya. Membesar bersama 5 saudara lelaki tidak pernah dipandang alpa olehnya. Walau bagaimanapun, kemanjaan yang dicurahkan kadang kala membuatkan ada hati lain yang terluka. Menyedari hal itu Sufi cuba menjarakkan hubungan mereka . Kini dia mula sedari walau sebesar manapun dia mengasihi mereka namun hukum ALLAH tetap mengatakan mereka bukanlah muhrim kerana mereka hanyalah saudara sepupu.

Ribut dihati Sufi kian bergelora. Dia menyedari dalam limpahan kasih sayang itu rupa-rupanya masih ada ruang yang kosong. Sekosong hatinya yang ditinggalkan. Ketentuan yang ditakdirkan telah menemukan kembali Safuan yang dirinduinya. Adik kecil yang terpisah 17 tahun lalu. Namun pertemuan itu bukan detik bahagia pabila Ahmad Sarji, adik angkatnya memaklumkan bahawa ada noda diantara mereka berdua. Hati seorang Sufi berlagu pilu. Dia menyalahkan diri kerana malapetaka itu. Abdul Rahman pula menganggap itu adalah  timbal balas ke atas semua dosa-dosanya yang lalu. Kifarah yang harus dipikul.

Jika itu adalah kehendakNya , siapalah kita yang hendak membantah. Kerinduan Safuan untuk menatap Kaabah dan kucupan salam di tangan Sufi merupakan yang terakhir.  Safuan di jemput pergi. Jemputan yang di nanti biarpun meninggalkan Zamzarina yang sudah terikat hatinya. Kali ini, kehilangan itu adalah abadi.

Sufi membawa hati yang walang, menapak kembali ke lorong silam tatkala dia berlari-lari di batas sawah bersama Sufian dan Safuan. Dia ingin kembali mencedok ingatan itu. Mengimbau kembali kenangan lalu. Namun ketibaanya di rumah pusaka itu di sambut dengan kejutan. Yang muncul dihadapannya kini ialah seraut wajah lelaki yang sekian lama dirinduinya. Wajah yang mengunci hatinya daripada diketuk oleh mana-mana lelaki. Namun wajah itu juga wajah luka hatinya. Wajah Sufian !

@@@@  @ @@@ @ @@@@

 Novel ini dicetak pada tahun 2004. Sudah 2 tahun berlalu namun kelewatan saya untuk menantapnya sungguh saya kesali. Bagaimana saya terlepas pandang novel ini, atau memang waktu itu saya telah dijanjikan belum bertemu jodoh dengannya ?

Zaharah berjaya mengikat saya untuk terus menatap bait-bait ayat di dalam novel ini . Memang tidak dinafikan. Zaharah dengan tenang mengadun kisahnya dengan bahasa yang indah, halus dan sopan. Zaharah bersahaja dalam meloret kisahnya, biarpun kisah sedih ataupun kuntuman senyum. Mata saya ralit menatapnya. Keupayaan Zaharah menyelami kisah mereka ini membuatkan saya turut sama ingin mengenali Sufi dan keluarganya.

Kebetulan yang dihadapi Sufi adalah kebetulan yang tersurat untuknya. Semua watak-watak di dalam novel ini mengamit simpati saya. Saya tidak juga mempu membenci Baktiar dengan ketelanjurannya 10 tahun lampau. Saya juga tidak memusuhi Zahim kerana dia yang selalu mengherdik Sufi. Saya memahami tekanan yang diratapinya itu. Saya mengkagumi Ahmad Sarji yang berdosa hidupnya dan ingin kembali merapatkan sujud kepada ALLAH S.W.T. Keinsafan Safuan sungguh meruntun hati wanita saya. Dan,  Sufian, lelaki hebat itu yang telah mencuri ketenangan Sufi.

Lukisan hatinya sering bersenandung hujan. Pelariannya membawa dia kembali semula ke sisi meraka yang menyayanginya. Sufi kerinduan untuk bertemu Khaliknya . Kebimbangan jika memiliki Sufian adalah satu kejanggalan bagi dirinya untuk merapatkan hubungan dengan Allah S.W.T.  maka, dia ingin rasa itu pergi kerana mencintai DIA lebih bererti!

Saya menutup novel ini dengan rasa yang menginsafkan. maafkan Aku…secara tidak langsung telah mendidik jiwa saya yang keras hatinya. Saya dambakan manusia seperti Sufi yang baik akhlaknya dan santun jiwanya.

Terima kasih Zaharah untuk maafkanlah Aku…

 

   1 comments

aziera
July 9, 2008   07:23 PM PDT
 
saya terbaca novel ini pada tahun 2005. Seorang teman meminjamkan saya novel ini dan menyuruh saya menghayati setiap baris ayat di dalam novel ini. Gaya bahasanya cukup terkesan di hati saya dan sehingga kini ayat-ayat di dalam novel ini masih saya ingati. Ada rindu yang hadir dihati saya selepas membacanya, rindu yang sukar untuk saya gambarkan...

Leave a Comment:

Name


Homepage (optional)


Comments