|
Tajuk : Tunggu Teduh Dulu Pengarang : Faisal Tehrani Halaman : 678 ms Penerbit : Penerbitan Selain Tahun : 2004
Komen pertama saya tentang novel ini ialah harganya agak mahal berbanding dengan novel lain yang setebalnya. Mungkin kerana ia menggunakan kertas 'kuning' yang tentu saja lebih mahal harganya berbanding dengan kertas putih yang disukai oleh ramai para pembaca novel di Malaysia. Atau mungkin juga ia mahal kerana ditulis seorang penulis tergolong antara sasterawan ulung tanah air. Tapi sayanglah kerana faktor harga boleh menyebabkan ramai orang, terutama para pelajar sekolah dan golongan yang berpendapatan rendah sedikit terhalang untuk membelinya. Bagi saya, novel ini ialah cerita Ayub Anak Tulakang versi novel. Kalau dalam Ayub segalanya pisang daripada goreng pisang sampai cekodok pisang, novel ini semuanya betik. Pelbagai informasi betik dimuatkan. Daripada jenis betik dan masalahnya hinggalah kepada segala macam kegunaan betik. Makan steak pun bersos betik. Sampai orang pun diberi perlambangan betik, sebagai contoh suami heroin dipanggil betik muda dan suami heroin kedua diberi gelar betik Yogya. Sinopsisnya ialah kisah dua orang sahabat, Salsabila Fahim dan Teh Sofia yang membuka sebuah ladang betik, Tunggu Teduh, di tanah pusaka kepunyaan Salsabila. Ayah Salsabila dulu, setelah kematian isteri pertamanya (ibu Salsabila) telah berkahwin lagi dan mempunyai seorang anak bernama Sharulzaman. Pada mulanya hubungan Salsabila dengan ibu tirinya kurang enak tetapi akhirnya menjadi baik hingga Salsabila yang sebelumnya memanggilnya sebagai mak cik telah menyebutnya sebagai mak. Bersama berkembangnya ladang betik mereka, pembaca dihidangkan dengan kisah cinta empat lima segi Salsabila dengan sahabat karib zaman remajanya iaitu Kamil dan Lam, dan Sazli mandur ladang betik yang baru berumur 20 tahun dan lapan tahun lebih muda serta Teh Sofia yang mencintai Kamil. Teh Sofia setelah menyedari ada seperti bunga-bunga intim antara Salsabila dan Kamil merajuk membawa diri. Konflik sungguh. Kamil dan Lam (yang memeluk agama Islam kerana bermimpi Confucius memberitahunya tentang kenabian Nabi Muhammad SAW – hehehe, fiksyen dipergunakan sepenuhnya oleh penulis ini) berebutan Salsabila sejak mereka kanak-kanak lagi. Masing-masing cuba memenangi hati Salsabila yang bertindak jinak-jinak merpati. Nak kata nak seperti tak nak, tapi nak kata tak nak macam nak. Akhirnya persaingan kedua lelaki ini membawa kepada mereka bertumbuk dalam ladang betik dengan disaksikan para pekerja ladang. Seperti siapa menang dialah yang dapat memenangi hati Salsabila. Tentu saja ini membuat Salsabila berang. Salsabila juga pening dengan tindakan Shahrulzaman menuntut duit daripadanya, dan kerana Salsabila enggan melayan permintaan itu adik tirinya telah cuba memperkosanya. Tetapi kehadiran Kamil telah menyelamatkannya. Dan dalam gelap malam Salsabila menyangka Sazli yang cuba melakukan perbuatan terkutuk itu. Salsabila enggan memberitahu polis apabila ditanya siapakah lelaki yang bertanggung jawab itu. Esoknya dia hanya membuang kerja lelaki itu. Kemudian setelah dia tahu siapa sebenarnya punya angkara, dan betapa yang menyelamatkan dia malam itu ialah Sazli bukan Kamil, dia telah meminta maaf kepada budak Sazli itu dan menjemputnya untuk bekerja semula. Tetapi Sazli lebih berminat untuk menyambung pelajaran ke Jerman. Ketika mengerjakan umrah bersama ibu tirinya, Salsabila telah bertemu semula dengan Sazli yang kebetulan turut mengerjakan umrah. Ibu tirinya meninggal, dan petangnya, sesuai dengan ayat yang selalu diulang, 'Kerja Tuhan Siapa Tahu', dia membuat keputusan mendadak mengahwini Sazli. Panjang lagi cerita ini tetapi saya tidak ingin merosakkan mood pembaca. Lalu saya menamatkan sinopsisnya di sini saja. Apa yang bagusnya tentang novel ini ialah pendirian penulis yang mengangkat Islam itu sebagai satu cara hidup. Setiap kali bermasalah, watak akan merujuk kepada Kekuasaan Tertinggi iaitu Allah, dan inilah yang sepatutnya dilakukan oleh semua orang Islam. Kekuatan lain novel ini juga ialah pengarang memiliki kemahiran bahasa yang tinggi. Banyak perkataan yang jarang-jarang digunakan terdapat dalam novel ini. Hanya yang menimbulkan tanda tanya, apabila dua orang Selangor bercakap sesama mereka apakah mereka akan menggunakan perkataan bergocah, perkataan Kelantan untuk bertumbuk. Kalau perkataan Minang atau Jawa tentu saja lebih mudah diterima. Novel ini seharusnya menjadi novel yang baik tetapi telah dicacatkan oleh kerja-kerja penyuntingan yang lemah. Seharusnya novel ini dipadatkan kerana sedikit lewah. Saya tahu versi asalnya ialah novel bersiri dalam surat khabar yang harus mengikut format tele novela, tetapi untuk versi cetak tentunya boleh dibuat suntingan untuk memperkemaskan lagi cerita. Ada beberapa perkataan yang digunakan tidak ada dalam kamus Dewan edisi terbaru, dan tidak juga termuat dalam kamus Nusantara keluaran DBP Brunei malah tidak ditemui dalam kamus Indonesia. Ada juga percanggahan cerita, seperti mulanya diberitahu bahawa Sazli dibuang kerja, kemudian dikatakan dia berhenti kerja. Ada juga yang menjadi tanda tanya saya iaitu apakah hukumnya dalam Islam menuntut ganti rugi sesuatu yang belum pasti. Seperti ada unsur gharar dan riba di sini. Malah kalau kita kiaskan kepada hukum haram memajakkan buah-buahan yang belum masak tentu saja adalah tidak manis untuk Salsabila dan Teh Sofia yang amat menjunjung Islam menuntut ganti rugi buah betik yang belum berbunga pun daripada pemaju. Saya juga sedikit geli geleman dengan dialog romantis yang digunakan. Ada juga saya rasa setengah daripada dialog tidak manis ditulis dalam novel yang berteraskan Islam, sesuatu yang bagi ukuran saya berbaur seks. Mungkin juga kerana ukuran yang saya letak untuk penulis ini lebih tinggi. Padahal kalau dialog begitu ditulis oleh penulis novel popular lain saya tidak apa-apa pun. Apa pun keseluruhannya, bagi saya novel ini bagus dan tentu saja berbaloi untuk dibaca. Dalam lambakan novel di pasaran yang tak habis saya baca, ia adalah antara novel yang mampu saya habiskan dengan rasa puas membacanya. Sebuah novel yang menjunjung Islam. |
| malaysia web design July 1, 2009 01:37 AM PDT mahal sangat tak seronok sangat la nak beli | ||
| Leave a Comment: |